Assalamualaikum...
Baiklah hari ini saya nak komen skit tentang penggunaan istilah Bahasa Melayu oleh akhbar Harian Metro.
Hari ni, saya terkejut membaca tajuk utama akhbar tersebut iaitu:
Taktik tipu pakar IT Mat Afrika - Godam bank
Berikut adalah petikan penuh artikel tersebut:
Ejen penyamun siber
Oleh Sarah Zulkifli dan Iskandar Shah Mohamed
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Godam dan lesap! Itulah taktik licik sindiket antarabangsa didalangi ‘Mat Afrika’ yang dikesan menggodam akaun bank tempatan dan memindahkan ribuan ringgit ke akaun bank ‘budak suruhan’ sebelum menggelapkan hampir keseluruhan wang terbabit.
Difahamkan, sindiket itu mensasarkan warga tempatan sebagai ‘kambing hitam’ dengan menyamar syarikat pembekal mesin janakuasa dikendalikan mereka dan menawarkan upah lumayan 10 peratus komisen untuk setiap tugasan mencecah puluhan ribu ringgit melalui e-mel yang dihantar secara rambang.
Sekiranya bersetuju, mangsa dikehendaki membalas e-mel terbabit sebelum dihubungi ahli sindiket berkenaan yang mendakwa syarikat mereka melakukan perniagaan secara sah dan berkembang luas di seluruh dunia.
Mangsa seterusnya diberi tugas mudah dengan hanya menjadi ejen atau orang tengah untuk menerima dan menguruskan wang pelanggan di negara ini yang dimasukkan ke akaun banknya.
Sejurus mangsa meminjamkan akaun bank sendiri sebagai pindahan dan diarah memindahkan hampir semua wang berkenaan ke akaun sindiket berkenaan di bank luar negara.
Bagi meyakinkan mangsa, sindiket itu meminta mangsa mengambil sejumlah wang yang didakwa sebagai upah kerana menyelesaikan pindahan akaun.
Bagaimanapun, tidak sampai beberapa hari, mangsa dihubungi pihak bank yang memaklumkan wang itu milik pelanggan yang dicuri dan digodam individu tidak bertanggungjawab.
Kegiatan sindiket terbabit didedahkan seorang lelaki dikenali sebagai Azman, 20-an, yang menjadi mangsa dalam satu pertemuan dengan Harian Metro, semalam.
Azman yang bekerja sebagai jurutera maklumat di sebuah syarikat penyiaran, berkata dia mula terjebak dengan helah sindiket terbabit selepas menerima e-mel yang kononnya dikirim sebuah syarikat janakuasa pada 5 September lalu yang menawarkan wang lumayan dengan menjadi orang tengah.
“Ketika itu, saya kesempitan wang dan tawaran yang diberikan menarik dengan menjadi orang tengah untuk menerima pembayaran bagi pelanggan syarikat pembekal mesin janakuasa luar negara.
“Pada mulanya, saya ingat ia satu daripada e-mel tipu, tapi saya benar-benar terkejut selepas dihubungi seorang lelaki warga Nigeria menggunakan nombor luar negara berkaitan pekerjaan menjadi orang tengah bagi syarikatnya,” katanya.
Katanya, lelaki yang menghubunginya menyuruh dia membantu memindahkan wang peanggan tempatan ke akaunnya sebelum dipindahkan ke akaun bank milik lelaki Nigeria itu apabila menerima arahan selanjutnya kelak.
“Beberapa hari kemudian, saya mendapat e-mel yang memaklumkan ada pelanggan yang membuat bayaran RM4,900 ke akaun saya dan perlu membuat pindahan cuma RM4,000.
“Lelaki itu mendakwa wang selebihnya upah saya kerana menyelesaikan tugasan itu. Disebabkan hal inilah saya benar-benar percaya perniagaan dilakukannya sah,” katanya.
Bagaimanapun, keesokannya dia dihubungi pihak bank dan disoal pegawainya mengenai wang RM4,900 itu.
“Saya menceritakan hal sebenar mengenai tugas sebagai orang tengah atau ejen membantu pemindahan wang syarikat pembekal janakuasa di Nigeria,” katanya.
Kata Azman, dia terkilan apabila mendapat tahu kegiatannya memindahkan wang dengan bertindak sebagai orang tengah untuk sebuah syarikat di Nigeria adalah pembohongan.
“Rupa-rupanya wang RM4,900 yang dimasukkan ke akaun saya itu wang daripada akaun yang digodam lelaki berkenaan sebelum dipindahkan ke akaun saya.
“Selepas mendapat tahu hal sebenar, saya membuat laporan di balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Berikutan itu, dia menasihatkan orang ramai berwaspada dengan helah sindiket berkenaan bagi mengelak diperdaya dan ditahan pihak berkuasa.
Selepas membaca artikel ni, apa yang saya faham kegiatan warga Afrika ni menjurus kepada penipuan siber bukannya aktiviti menggodam.
Saya bukannya nak komen tajuk artikel sebenar, tapi tajuk yang terdapat di halaman depan. Tajuk tersebut tidak menggambarkan dengan tepat berita yang ingin disampaikan. Secara ringkasnya, tajuk tersebut terpesong.
Saya nasihatkan kepada pencipta tajuk utama artikel, sila menggunakan istilah yang tepat dalam membuat tajuk-tajuk artikel lebih-lebih lagi untuk halaman utama. Jangan mengelirukan para pembaca. Gunalah istilah yang bersesuaian dengan artikel.
Sekian.
This entry was posted
on 11:52 PM
.
You can leave a response
and follow any responses to this entry through the
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
.
0 comments